Tuesday 31 January 2012

nikah itu umpama mendirikan masjid

Pernahkan anda mendengar pepatah mendirikan masjid ? Pernahkah anda mendalami maksud tersirat di sini ? Atau mungkin anda menerima ini sebagai pemanis bahasa semata mata . InsyaAllah hari ini ana ingin berkongsi pendapat tentang perumpamaan ini . Harap dibetulkan andai tersilap di mana mana .
Topik yang ana ingin kongsikan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu anda semua tentang nikah , mendirikan masjid . Bagi sesiapa yang berkemungkinan tidak kesampaian lagi hajat mereka , ini boleh dijadikan kekuatan untuk anda semua . InsyaAllah .
Untuk membina sebuah masjid , anda perlulah ada tapaknya dahulu . Di tapak itu lah anda akan pacakkan tiang asas , membina bumbung yang melindung , menyusun batuan untuk dinding , juga mencantikkan masjid itu untuk menyenangkan lagi hati para muslimin muslimat untuk mendirikan solat .
Masih belum mendapat gambarannya ? Baiklah . Akan ana terangkan satu persatu . InsyaAllah .

Langkah pertama ialah dengan memastikan tapak yang sesuai untuk didirikan sebuah masjid . Di sini lah kontraktor , ahli kaji tanah , arkitek dan para engineer memainkan peranan . Mereka akan pastikan tahap keselamatan untuk kawasan tanah tersebut . Mereka akan pastikan kualiti tanah tersebut . Cukup mampatkah tanah itu ? Cukup suburkah tanah tersebut ? Atau jika didirikan masjid di situ akan membawa petaka kepada muslimin muslimat seandainya tanah itu terjerumus ? Atau mungkin tanah itu perlu disuburkan dahulu untuk tempoh masa tertentu bagi menjamin kualitinya ? Mereka tidak mahu masjid ini runtuh suatu hari nanti . Baiklah . Mereka di sini umpama ibu bapa kita , atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas diri kita . Merekalah yang akan melihat dan menilai tahap persediaan kita , tahap kematangan kita . Mereka jugalah yang menilai seandainya sudah tiba masa untuk kita bernikah . Mereka tidak mahu terburu buru dalam hal seperti ini kerana khuatir pernikahan yang terjalin akan musnah kerana faktor umur yang tidak sesuai .
Langkah seterusnya ialah mendirikan tiang asas . Tiang merupakan peranan utama dalam sesetiap bangunan . Untuk membina dinding , kita memerlukan tiang . Untuk menaikkan bumbung , kita juga memerlukan tiang . Baiklah . Di sini ana ingin kaitkan tiang dengan agama serta ilmu kita . Sudah cukupkah ilmu kita untuk bernikah ? Sudah bersediakah si suami untuk menjadi suami soleh dan si isteri untuk menjadi isteri yang solehah ? Seandainya masih ragu ragu , usahlah dibina lagi masjid itu . Kerana ia hanya akan meruntuhkan bumbung dan dinding yang terbina . Tianglah memegang tanggungjawab yang paling besar . Ini bermakna , agama dan ilmu lah memainkan peranan yang sangat penting . Tiada agama , tiada ilmu , runtuhlah hubungan tersebut .

Bumbung . Di sinilah mereka berlindung dari hujan dan panas . Bumbung dapat dikaitkan dengan jaminan untuk kehidupan dalam hubungan pernikahan . Sudah pastilah si suami perlu mempunyai jaminan kewangan untuk menanggung kehidupan berumahtangga . Dengan ini , makan pakai tempat tinggal dan keperluan asas yang lain dapat dipenuhi . Seandainya mereka mendapat zuriat , zuriat ini juga terjamin masa depan mereka . InsyaAllah .
Bagaimana pula dinding ? Cantiknya dinding itu apabila kena dengan warna catnya dan kukuh kualitinya . Maka , ramai yang akan tertarik dan pergi ke masjid tersebut . Kerana dindinglah yang menjadi perhatian utama , bukan tiang , bukan tapak juga bukan bumbung . Baiklah . Di sini ana ingin kaitkan dinding dengan penerimaan orang lain , persepsi orang lain . Seandainya orang tidak merestui juga membenci hubungan anda , jangan sesekali berputus asa . Jangan bersangka buruk . Sentiasalah berbaik sangka . Lihat semula , adakah cantik dinding yang kita bina ? Adakah sesuai dengan reka bentuknya ? Adakah warnanya sesuai ? Jika tidak , perbaikilah kembali keadaan masjid tersebut . Kaji semula keadaan tapak , kukuhkan lagi tiang dan carilah atap yang betul betul melindung bagi mendapat dinding yang betul betul cantik .

Seandainya masih lagi belum mampu untuk memenuhi semua keperluan ini , pendamkan dahulu hasrat mulia anda . Kuatkan dahulu diri anda , layakkan anda untuk semua ini , berusaha , berdoa dan bertawakkal lah kepada Allah . InsyaAllah niat yang baik akan sentiasa dirahmatiNya .
Berimpianlah anda untuk membina sebuah masjid seperti Masjidil Haram yang teguh , tersergam indah dan tak henti henti dikunjung muslimin muslimat yang beriman , tanamkan dalam diri anda , cabar diri anda , insyaAllah anda mampu . Bersedialah dengan persediaan terbaik untuk mendapat hasil yang terbaik . InsyaAllah .
Buat  renungan bersama .
Redha dan yakinlah dengan Allah .
Allah sentiasa bersama orang orang yang sabar .
- Artikel iluvislam.com
Penulis: Amni Fatnin bt Ahmad Jihaduddin Merupakan Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kepujian Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment